Puyu Covid 19

Lama sangat sudah tidak memancing ikan puyu. Sejak PKP wabak Covid 19 masa banyak dihabiskan berada di rumah sahaja. Apabila larangan PKP diperingkat bersyarat barulah dapat meluangkan masa untuk memancing ikan puyu.

Kali ini puyu memang bersaiz besar dari sebelum ini. Memang jarang untuk  menemuikan saiz seperti ini. Kalau sudah rezeki, sampai masa dapat juga.



 

Sebarau - Kalau Sudah Rezeki

Kata orang kalau sudah rezeki tu tak ke mana. Mungkin masanya sahaja yang menentukan.  Kali ini dapat naikkan sebarau yang agak boleh tahan besarnya. Walaupun tak dijangka. Keadaan air yang cukup baik untuk memburu kerana beberapa hari hujan turun tetapi tidak terlalu lebat. Air pula bertahan.

Seminggu sebelum ini satu lure rapala SSR5 telah pun putus disambar oleh sebarau. Lesap satu. Tidak sempat berbuat apa-apa kerana terlalu pantas. Terubat juga akhirnya bila dapat naikkan di lokasi yang sama.
 




Sauk Anak Ikan

Bila air naik selepas musim hujan, pasti anak ikan pun turut menongkah air. Bila ketika macam ni mudah hendak kita menyauk anak ikan untuk dijadikan umpan. Sekali sauk sudah mencukupi untuk dijadikan umpan. Ikan yang akan makan anak ikan ni sudah tentu baung dan sekutu dengannya.




Ikan Selat

Ikan selat banyak terdapat di parit-parit, anak sungai dan juga sungai. Biasanya ikan ini memang banyak dan mudah diperolehi. Bagi sesetengah pemancing ikan ini merupakan salah satu ikan pengganggu. Bagaimanapun ikan ini masih lagi ada harga di pasaran walaupun ikan selat ini mempunyai tulang halus yang banyak. Hampir seluruh badannya bertulang seperti sabut. 

Ikan ini rasanya manis. Ada juga yang mengambil ikan ini untuk dibuat ikan kering dan juga pekasam. Selain itu ikan ini juga boleh diambil isi untuk dijadikan fishball. Paling mudah cekodok ikan. Dengan cara memotong bahagian ekor, dan lenyek dengan penggelek dari bahagian antara kepala dan badan. Isi ikan ini akan keluar melalui ekor yang telah dipotong tadi.

Kawan saya suka ikan ni. Nama saya rahsiakan la. Manis katanya. Selalu dia akan ambil ikan ini untuk dibuat fishball.   
 





Memburu Sebarau

Memburu ikan sebarau ini menjadi satu ketagihan. Pemancing sanggup berbelanja lebih terutama  untuk membeli umpan ikan tiruan. Selalu yang digunakan ialah jenama Rapala. Ada juga jenama lain seperti Yozuri, Daiwa dan sebagainya. Berbanding dahulu harga cuma antara RM10-RM20 untuk satu umpan, tetapi kini mencecah RM30 ke atas. 

Kalau putus samada tersangkut atau di bawa ikan yang melebihi saiz, atau ada  juga yang pecah kerana sambaran ikan memang sedih la. Biasanya kalau sangkut pandai-pandai la nak dapatkan semula. 

Gambar akhir merupakan orang yang mengheret aku memburu ikan sebarau menggunakan  umpan tiruan. Sebelum itu biasanya aku hanya menggunakan umpan anak ikan putih kecil yang bersaiz satu atau dua jari. Menggunakan mata kail 01/02. Waktu memburu ketika itu biasanya musim air sungai naik. Port paling digemari yang mempunyai calvert yang airnya yang jernih dan deras. 

Boleh juga menggunakan umpan anak udang untuk memancing ikan sebarau. Pastikan tali yang kuat dan ikatan mata kail yang kukuh sebelum hendak memancing ikan sebarau. Kita tidak pasti yang meragut pancing kita itu samada yang bersaiz kecil atau besar. Yang penting kita bersedia dahulu sebelum menyesal.





Orang yang  mengheret aku memburu sebarau.

Ikan Patung

Ikan patung ini biasanya dalam berkumpulan. Paling tidak pun sepasang.  Lepas seekor,  sekor dapat lagi. Ikan patung memakan pancing hanya mempunyai getaran perlahan sahaja. Apabila sudah memakan pancing, ia akan terus berdiam diri. Itu sebabnya bila kita angkat pancing mata kail selalunya telah ditelan dalam. 

Ikan ini biasanya bersaiz tapak tangan dewasa. Mungkin juga ada yang lebih besar. Ikan ini hampir serupa dengan ikan kepar. Jika dibanding rasa dengan kepar, ikan kepar lebih manis isinya bila digoreng.

Ikan ini terdapat di sungai atau pun anak sungai. Terdapat juga di parit-parit yang tembus ke sungai. Biasanya ikan ini akan berada di air yang tenang atau pun bergerak perlahan. Umpan yang biasa digunakan untuk  memacing ikan ini ialah cacing dan cengkerik. Ikan jenis ini memakan semua umpan.






Anak Sebarau

Memang jenis ikan Sebarau ini galak makan umpan. Kalau dilihat saiz badan macam tu pun kena pancing. Memang dah tabiatnya mencari makan tidak  mengira umpan apa. Ikan ini dilepaskan semula. Hidup keduanya. 

Kalau dimasukkan ke dalam akuarium memang cantik dengan jalur hitam di tengah badan, ekor merah yang berjalur hitam di tepi. Sisik yang berkilat. Ikan ini memang kuat makan kalau dalam akuarium. Kita boleh beri anak udang putih/gantung atau anak ikan yang lebih kecil.      
 


Kalau yang bersaiz besar ikan ini memang seronok untuk  memancingnya. Walaupun setengahnya ada yang berkata ikan ini kurang sedap dimakan. Mungkin juga ada benarnya, sebab isi sekitar tengkuk memang berasa tawar sedikit. Walaupun begitu ikan ini tetap mempunyai nilai yang tersendiri dari segi memancingnya, melayan ketika memancing dan juga rasanya. Selalunya ikan ini dibakar untuk dijadikan lauk. Pun begitu harga ikan ini masih lagi mahal mengikut saiz. 

 

Ikan Rong

Ikan rong ini memang agak sukar untuk mendapatkannya. Bukan kategori ikan yang banyak di sungai. Hanya sesekali pancing akan dapat ikan ini. Ikan ini biasanya bersama kelompok ikan terbul. Ikan yang suka berada di air yang agak deras, juga sekitar yang berkayu atau di celah batang dalam sungai.

Ada juga yang menyebut terbul batang, susur batang dan sup batang. Apa pun jenis ikan ini satu spesis ikan terbul juga. Masih mempunyai kelopak mata yang biru dan sekitar sisik perut berwarna merah bila bersaiz besar. Terdapat jalur berwarna hijau gelap kehitaman sepanjang tengah badan. Sirip berwarna kuning kehijauan. Rasa ikan ini lebih sedap berbanding ikan terbul. Rasa yang sangat manis bila digoreng. Mempunyai tulang halus yang banyak. Tetapi bila kita kelar rapat-rapat dan goreng ianya menjadi rangup.

Mulut ikan ini agak kecil. Umpan mudah yang digunakan ialah umpan sawit yang dipotong halus. Sama potong memanjang ataupun bentuk kiub.








Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid 19

Tiada sebarang aktiviti memancing dilakukan sepanjang PKP ini. Mungkin juga ada segelintir yang masih memancing waktu ini. Bagaimanapun akhirnya semua pemancing telah akur. 

Bagaimana agaknya, mungkin juga pembiakan ikan  lebih baik sekarang ini. 

 Kes covid 19 sehingga 13 April 2020

 Port sebarau - lama tak turun sini dah

 Sekatan jalan untuk menghadkan pergerakan 


Larangan memancing sewaktu PKP

#sila duduk rumah

Ikan Baung

 Dikala musim hujan, bila air sungai naik. Saiz macam ni memang galak makan pancing. Ikan baung ni memang sedap masak apa pun.



Ikan Bujuk

 Lama tak turun untuk memburu ikan bujuk. Sesekali bila turun untuk melepaskan rindu di kawasan dekat-dekat sahaja. Boleh la untuk menikmati rasa manis ikan ini. Ada yang tak berani nak makan, sebab coraknya tu. Sedap ikan ni.






Mencari Puyu

Trip minggu ni mencari puyu yang bersaiz besar. Dengan keadaan cuaca yang agak panas tambahan pula sekitar tempat tersebut tiada sebarang pohon besar untuk berteduh tidak membuatkan lemah semangat untuk memancing. Bila dapat yang besar ni lupa pulak cuaca panas tuh. Apapun syukur dapat rezeki untuk  kali ini. Walaupun tak banyak tapi ada.